top_100plus top_bank top_tm top_nike
shopping-bag 0
Items : 0
Subtotal : RM0.00
View Cart Check Out

Berita

PERSAHABATAN: VIETNAM B-22 3-0 MALAYSIA B-22

2017-02-08

Skuad Harimau Malaysia B-22 tewas 0-3 kepada Vietnam B-22 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, malam tadi.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit pertama permainan menerusi Ho Tuan Tai yang berjaya memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol.

Vietnam yang diketuai Nguyen Cong Phuong terus melancarkan asakan bertubi-tubi ke atas pasukan kendalian ketua jurulatih, Frank Bernhardt namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bagaimanapun, gawang Malaysia bolos juga buat kali kedua apabila pemain sayap, Van Toan melepaskan rembatan kencang pada minit ke-43 untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 2-0.

Bersambung babak kedua, usaha pasukan kebangsaan untuk bangkit berjaya dipatahkan skuad bimbingan Nguyen Huu Thang yang kemudiannya menambah jaringan pada minit ke-82 menerusi sepakan lencong Cong Phuong.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Pasukan Vietnam mempamerkan hantaran-hantaran tepat dan kita menghadapi masalah dengan kelajuan mereka pada awalnya. Mereka berhak untuk menang kerana mereka bermain dengan lebih baik.

“Kita turun tanpa enam pemain utama berikutan kecederaan atau tidak diberikan pelepasan oleh pasukan masing-masing. Kehilangan mereka memberi kesan kepada pasukan. Berkemungkinan jika mereka ada hari ini (semalam) kita tidak akan tewas dengan tiga gol.

“Tahap kecergasan pasukan tidak berada pada tahap yang kita harapkan buat masa ini. Kita juga mempunyai masalah untuk mengumpulkan pemain-pemain lebih awal bagi membantu persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan antarabangsa.

“Sudah jelas kita memerlukan masa yang mencukupi untuk mempersiapkan pasukan bagi Sukan SEA. Kita juga perlukan pemain-pemain serba boleh yang mampu mengisi banyak posisi dalam pasukan."